Friday, April 9, 2010

Siapa saya dan bolehkah anda percaya apa yang ditulis?

Pengenalan Ringkas


"Tak Kenal Maka Tak Cinta"

Saya mula berjinak-jinak dalam pelaburan hartanah secara aggresif mulai tahun 2006 setelah menyertai satu bengkel hartanah pada April 2005. Sebelum itu, saya ada juga membeli beberapa hartanah tetapi bengkel itu telah membuka mata saya bahawa saya mempunyai visi yang betul tetapi pelan, perancangan dan pelaksanaannya kurang jitu.

Pelaburan Awal Saya

Sekiranya membuat pelaburan sudah tentu kita mengharapkan pulangan. Tetapi pelaburan awal saya memerlukan saya mengeluarkan banyak wang dari poket setiap bulan untuk menampung bayaran pinjaman kerana ianya lebih tinggi dari sewa rumah.


"Bukan Senang Nak Senang"

Saya beli rumah teres 2 tingkat di Puncak Setiawangsa pada pada tahun 1999  tetapi sewa bulanannya lebih rendah dari bayaran ansuran bulanan pinjaman. Bermakna saya perlu keluarkan wang setiap bulan untuk menampung bayaran ansuran pinjaman. Itu pun saya bernasib baik kerana pada masa itu saya bekerja di sebuah bank antarabangsa dan dapat pinjaman dengan kadar faedah rendah. 

Walaupun ketirisan setiap bulan, kenaikan kapital (capital appreciation) rumah teres adalah sangat baik. Rumah tersebut telah dijual pada tahun 2006 dengan keuntungan agak besar dan ini telah membantu merealisasikan pelan transformasi pelaburan hartanah saya yang lebih aggresif.



Transformasi

Sebenarnya bukannya mudah untuk merubah diri terutama mindset mengenai pelaburan hartanah. Perkara pertama yang difikirkan oleh setiap orang ialah mengenai kemampuan dan modal. Setelah menyertai bengkel hartanah itu, saya dapati kita sebenarnya boleh membeli tanpa wang atau zero money down. Atau kita boleh membeli 20-30% dibawah harga pasaran.


"Mahu Seribu Daya, Tak Mahu Seribu Dalih"

Tak percaya kan? Memang saya pun antara percaya dan tak percaya. Saya telah letakkan deposit $200 untuk menyertai bengkel tersebut kerana teruja dengan promosinya. Bila tiba dirumah, isteri saya membantah saya menyertai bengkel yang kosnya beribu-ringgit itu. Katanya, "mana boleh beli rumah tanpa wang, jangan sertai. Lebih baik hilang $200 dari hilang beribu-ribu ringgit. Boleh bagi I pergi shopping atau kita pergi holiday". Ayat tersebut masih terngiang-ngiang ditelinga saya. Tetapi, setelah difikir sedalamnya, akhirnya saya sertai bengkel itu pada Apr2005.


"Pendidikan Untuk Diri Sendiri Adalah Pelaburan Yang Paling Baik"

Alhamdulillah, saya telah berjaya miliki belasan buah kondominium dan apartment. 
Sebagai contoh, antara tahun 2006 dan 2007, saya berjaya miliki 7 buah kondominium dan apartment. Sebuah pada awal 2006, sebuah lagi pada akhir 2006 dan  lima (5) buah pada 2007. Selepas itu saya  membeli beberapa buah kondominium /apartment hampir setiap tahun.

PENTING - pada keseluruhannya saya tidak perlu mengeluarkan duit untuk membayar ansuran bulanan dan caj servis juga dapat pendapatan lebihan atau yang dipanggil pendapatan pasif. Alhamdulillah!

Pembelian Pertama

Ia merupakan perkara paling susah kerana pembelian pertama merupakan titik perubahan. Saya ambil masa lebih kurang setahun selepas sertai bengkel pelaburan hartanah sebelum membeli hartanah pertama kerana bimbang tersalah langkah. 

Sekiranya pembelian dibuat dengan betul mengikut apa yang dipelajari dan dengan rancangan permainan (game plan) yang jitu, pembelian ke-2 ke-3 dan seterusnya harus jadi lebih mudah.


"Setiap Perjalanan Dimulakan Dengan Langkah Pertama"

Adakah saya memanfaatkan pelan pembelian tanpa modal (Zero Money Down)? Ya boleh tapi kena ikut keadaan dan situasi. Untuk pembelian pertama, saya tidak guna ZMD kerana pembelian  melalui lelongan awam CIMB Bank. Kondo di Cyberjaya ditawar pada harga RM146K dan saya dapat dengan harga RM157K. Harga pasaran condo tersebut adalah lebih kurang $210K. Walaupun saya tak memanfaatkan ZMD saya memanfaatkan pelan ke-2 iaitu beli dibawah harga pasaran (mestilah sekurang-kurangnya 20% off). Apa yang menarik, saya tidak menyertai lelongan itu kerana terpaksa ke Hong Kong kerana urusan kerja. Sebenarnya lebih baik kita menggunakan ejen untuk membida. Saya akan beritahu lebih lanjut diposting akan datang.

Sekian. Selamat menjalani kehidupan yang ceria dan berjaya.


"Kongsikan Kejayaan"


Wasalam

No comments: