Friday, April 9, 2010

Mengapa Melabur Dalam Hartanah Dan Apa Kelebihannya?

Antara beberapa sebab mengapa kita perlu melabur dalam hartanah.

Bekalan Terhad
Tanah adalah sesuatu yang tidak boleh ditambah kerana ia terhad. Bangunan yang dibina atas tanah dikawasan yang popular & 'panas' sentiasa menjadi rebutan ramai.

Keperluan Asas
Seperti pakaian, makanan dan minuman, manusia memerlukan tempat tinggal. Ia adalah satu keperluan asas yang tak dapat dielakkan. Ada juga hartanah yang bukan keperluan asas seperti rumah percutian bagi mereka yang mampu
Bekalan & Permintaan
Mengikut peraturan alam, harga ditentukan oleh bekalan & permintaan. Oleh kerana jumlah manusia bertambah setiap saat, jadi permintaan untuk tempat kediaman & premis perniagaan juga akan meningkat sementara bekalan adalah terhad maka harga hartanah akan sentiasa naik

Inflasi
Hartanah menjadi penampan kepada inflasi kerana harganya turut meningkat setara dengan inflasi, malah adakalanya pada kadar yang lebih tinggi.

Peningkatan Kapital / Capital Appreciation
Ada jenis hartanah yang memberikan pulangan kapital yang tinggi tapi kadar sewanya rendah dan sebaliknya pulangan kapital sederhana dengan kadar sewa yang tinggi. Jenis hartanah yang mana ya?

Mudah Dapat Pinjaman
Bank berebut-rebut menawarkan pelbagai pakej pinjaman. Tepuk dada tanya selera. Malah pegawai pinjaman sentiasa bersedia datang bertemu anda mengikut kesesuaian masa anda & ditempat anda. Pilih sahaja pakej yang paling sesuai. Namun berhati-hati, kerana yang memberi kadar murah tak semestinya yang terbaik.

Pinjaman Baik / Sihat
Pinjaman yang anda ambil untuk membeli hartanah adalah pinjaman baik (good loan) kerana sepanjang tempoh pinjaman, anda dapat pendapatan pasif, harga hartanah meningkat sementara jumlah pinjaman berkurangan. Jika anda beli barang mewah ( katalah kereta Mercedes Benz atau BMW) yang sama harga dengan pinjaman, tiada pendapatan malah kena keluar wang untuk selenggara manakala harga kereta akan turun tahun demi tahun. Jadi, biarlah mereka dengan barang mewah, kita labur dalam hartanah

Pinjaman Maksima 100-110%
Percayakah anda boleh mendapat bukan 90% tetapi sehingga 100-110% dari harga belian? Bukan sahaja anda membeli rumah dengan pinjaman malah anda dapat extra iaitu pinjaman peribadi pada kadar pinjaman perumahan. Pada kebiasaannya kadar pinjaman perumahan lebih rendah dari pinjaman peribadi. Boleh joli! Anda perlu ada displin, gunakan wang itu sebagai deposit untuk membeli hartanah seterusnya.


Sesetengah pakej pinjaman memasukkan insuran (MLTA/MRTA) kedalam pinjaman perumahan. Tak perlu keluar duit sendiri.


Pakej Pinjaman Kos Percuma
Oleh kerana bank beria-ia nak bagi pinjaman, mereka mencipta pakej sedemikian rupa untuk membayar kos guaman dan penilaian hartanah. Tapi kadar keuntungan yang dikenakan mungkin sedikit tinggi.


Tempoh Pinjaman Yang Panjang
Ada Bank yang memberi pinjaman sehingga usia 75 tahun atau tempoh pinjaman 30 tahun. Tempoh pinjaman yang panjang bermakna bayaran ansuran bulanan juga rendah.


Penyewa Bantu Bayar Pinjaman
Anda tak perlu bayar pinjaman dan servis caj kerana jika pelaburan dibuat dengan cara yang betul, duit sewa sepatutnya melebihi bayaran pinjaman dan servs caj. Bukankah penyewa yang bayarkan pinjaman anda?


Pendapatan Pasif
Pendapatan ini adalah yang sebenarnya patut dicari oleh pelabur iaitu jumlah bersih setiap bulan setelah menolak bayaran pinjaman dan servis caj dari sewa.
Tiada Kawalan Tertentu Atas Pasaran
Biasanya tentu kita akan rasa takut sekiranya tiada kawalan terhadap sesuatu. Sebagai contoh, pasaran saham kita dikawalselia oleh Bursa Malaysia dan mereka menentukan samada saham syarikat boleh diterbitkan untuk pasaran dan ada kalanya menggantung saham syarikat yang melambung secara melulu.

Tetapi inilah kelebihan pasaran hartanah walaupun pada amnya seperti satu perkara yang negatif. Tiada satu badan rasmi yang mengawal harga hartanah (kecuali- hartanah kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat). Harga hartanah ditentukan oleh bekalan dan permintaan.

Pasaran Hartanah Tertutup
Negatif lagi? Jangan gusar. Sebenarnya ia adalah satu lagi kelebihan pelaburan hartanah. Pasaran saham adalah merupakan satu pasaran terbuka dimana harga saham-saham syarikat boleh diketahui oleh semua kerana ia disiarkan kepada umum. Katalah harga saham Maybank pada hari Jumaat 9Apr10 jam 10:09pagi di jual pada harga $10, semua bakal pembeli tahu harganya $10. Sebaliknya harga rumah di taman perumahan anda pada hari dan waktu yang sama tidak diketahui. And mungkin rasa harganya $300K kerana telah membuat ubahsuai. Jiran anda juga rasa rumahnya berharga $300K walaupun beliau tidak membuat sebarang ubahsuai. Pembeli pula merasakan harga patut rumah jiran itu adalah $250K. Jadi tiada siapa yang menetapkan harga pasaran semasa. Jual beli akan berlaku bila ada persetujuan diantara penjual dan pembeli. Harga pasaran yang dibuat oleh penilai harta cumalah sebagai kayu ukur untuk pihak bank. Ia dibuat mengikut sejarah penjualan hartanah dikawasan sekitar.


Peluang membeli bawah harga pasaran
Penjual tidak semestinya tahu harga pasaran atau sejarah harga jualan. Sedangkan anda telah membuat kajiselidik selama bebarapa bulan mengenai kawasan perumahan tersebut kerana anda yakin boleh mendapat penyewa dengan mudah. Atau pun anda boleh beli hartanah lelong dengan harga teramat murah berbanding harga pasaran. Perkara ini tidak berlaku dalam pasaran saham atau saham amanah.

Adakah anda berminat untuk mulakan pelaburan hartanah? Hartanah mampu sediakan pendapatan pasif untuk persaraan kelak. Jadi saya cadangkan anda segera mulakan pelaburan hartanah. Tetapi kenalah ada ilmu yang betul sebelum melabur. Jika tidak, kesannya amat besar dan lama, bertahun-tahun. Mungkin boleh jadi seorang bangkrap.

Hj Esa








No comments: