Blog No 1-2020 3am 9 Okt 2020
Blog ini ditulis untuk rujukan anak-anak saya yang kini akan memasuki alam pekerjaan.. Tulisan ini adalah pandangan dan cadangan saya kepada anak-anak saya sebagai satu cara perkongsian pengalaman sendiri atau rakan-rakan terdekat. Mungkin ia juga boleh jadi rujukan kepada anak-anak anda, Kalau ada komen positif, sila tulis. Jika ada yang negatif, simpan sendiri ya
Dad belajar bersungguh-sungguh sewaktu di universiti. Tak pandang kiri-kanan dan tak ada teman wanita. Tak merokok, minum atau bersosial yang berlebihan. Tak ada masa untuk itu semua. Dad perlu habiskan belajar dan lulus secepat mungkin kerana dad takut atuk kena bayar RM70,000 jika dad gagal. Manalah atuk nak cari duit sebanyak tu sebagai pekebun kecil? Dad tak juga tak mahu babitkan penjamin, seorang penghulu yang telah baik hati jadi penjamin tanpa tahu berapa berat sebenarnya tanggungjawab seorang penjamin
Alhamdulillah, dad berjaya habiskan kursus Bachelor of Applied Science - Computing di Queensland University of Technology (dulu Queensland Institute of Technology), Bne, Qld, Australia dalam tempoh 3 tahun. Pada hujung tahun 1985, dad balik ke Malaysia secepat mungkin, seperti yang ditetapkan. Maka bermulalah fasa baru dalam hidup dad
Ingatkan panas sampai kepetang, rupanya hujan ditengah hari.
Malang sekali, setibanya di tanahair, suasana ekonomi kurang memberangsangkan. Malaysia dan dunia mengalami kegawatan ekonomi. Syarikat-syarikat tidak cari pekerja baru malah mereka membuang pekerja atas alasan gawat.
Dad asal kampung di Muar, jadi apalah sangat pekerjaan yang ada dikampung. Dad tak mahu duduk diam tak bekerja, makan tidur dirumah sambil tunggu panggilan kerja. Selama 6 bulan dad ikut kerja kampung membantu atuk kerjakan kebun kelapa. Kelapa-kelapa tua akan disabit oleh atuk guna galah yang panjang dengan sabit dihujungnya. Dah tentu tak mampu lakukan kerja itu kerana tak ada skil.Tugas dad hanya kumpulkan kelapa-kelapa yang telah jatuh disabit. Selepas itu tugas Pok De Bongkek untuk kopek kelapa, buang sabutnya. Tugas dad seterusnya belah kelapa. Kadang-kadang ada tombong, maka makanlah tombong kelapa yang rasanya lemak manis selain minum air kelapa jika tekak terasa haus
Seterusnya masukkan kelapa yang telah dibelah kedalam bakul-bakul yang dipasang pada kiri dan kanan basikal. Sorong basikal ke rumah salai. Bukan kerja mudah kerana tanah gambut sangat lembut, selalu tayar basikal terbenam. Terpaksalah guna tenaga lebih untuk keluarkan dari situasi tersebut. Sampai dirumah salai, lambungkan kelapa-kelapa ke atas rumah salai dan susun terlungkup isi kelapa kebawah. Kerja ini diulang beberapa hari hinggalah rumah salai penuh.
Proses seterusnya, pasang api guna tempurung kelapa dibawah rumah salai semalaman. Keesokannya kami dan beberapa orang jiran akan menyungkil isi kelapa, pisahkan isi kelapa dari tempurung. Sekali lagi isi-isi kelapa akan disalai semalaman dengan api kecil untuk jadikan kelapa kering atau kopra. Keesokannya, masukkan kopra kedalam guni-guni dan dijual kepada peraih kelapa kering, Ah Song atau lebih dikenali sebagai Cina Musang.
Itulah pekerjaan dad selama 6 bulan. Dad tak anggap dad menganggur seperti kebanyakan lepasan universiti yang hanya petik anggur sebelum dapat pekerjaan tetap. Dad bekerja ikut apa situasi yang membenarkan. Bukan duduk goyang kaki sambil makan tidur dirumah orang tua. Dad harap anak-anak dad juga begitu. Jangan duduk goyang kaki dan harapkan orang tua bagi makan dan minum percuma. Carilah kerja atau buatlah bisnes mengikut situasi dan trend semasa.
Kerja kampung tentulah pakai pakaian yang sesuai. Baju dan seluar kotor dan tak menarik. Maka adalah mulut-mulut sumbang yang mula berkata. Maklumlah makcik - makcik bila jumpa suka membawang. Mereka mula bertanya kenapa dad balik dari luar negara tapi tak dapat kerja dibandar? Sudah tentu gagal habiskan pelajaran dan disuruh balik. Pedihlah juga telinga dad dengar. Apatah lagi ada yang kata, anak aku SPM aje dapat juga kerja kedai di Batu Pahat. Dia belajar luar negara, balik Malaysia kerja kebun.
Sabar jer lah.
Dad akan sambung lagi bila ada masa